MAUT DI TANGGA... Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Superintenden Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah (kanan) memerhatikan anggota polis dari Unit Forensik IPK Perlis melakukan siasatan terhadap mayat seorang lelaki yang ditemui mati di Kampung Padang Siding, Arau, Perlis pada Selasa. Lelaki yang dipercayai berumur lingkungan 20-an itu ditemui mati terikat pada tangga yang disandarkan pada sebatang pokok dalam kebun buah-buahan oleh orang ramai yang melalui jalan tersebut pada pagi Selasa. – Foto: BERNAMA
Mayat lelaki berusia lingkungan 20-an itu yang bahagian matanya turut ditutup dengan ikatan kain ditemui kira-kira pukul 10 pagi oleh orang ramai yang kemudiannya melaporkan kepada polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis Superintenden Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, lokasi kejadian hanya kira-kira 20 meter dari jalan raya utama dan punca kematian sedang disiasat.
Pihak polis memeriksa mayat lelaki yang tidak dikenali identitinya dengan keadaan tangan dan kaki diikat.
Menurutnya siasatan lanjut akan dilakukan bagi memastikan punca kejadian. - BERNAMA

